Article in Bahasa Melayu

‘Hadiah untuk abah’ : perjuangan keringat dan air mata
Oleh : Mohd Farez Mohd Jeffery & Syiham Akmal Saaban

beca 7

“Jangan dihitung tara peluh dan tenaga abah. Kalau dinilai aku pasti ramai yang sudah rebah”.
“Jika perjalanan abah itu boleh diukur, aku pasti abah sudah lali untuk jatuh dan tersungkur”.
Demikian bait monolog Amir yang pastinya meruntun jiwa bagi yang pernah menyaksikan video raya ‘Hadiah untuk abah’ hasil pembikinan Bahagian Multimedia Penerbit Universiti dengan kerjasama Pejabat Pengurusan & Perhubungan Canselori (PPPC).

beca 4
Menyingkap tirai kejayaan penerbitan video yang berdurasi enam minit itu, pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi krew produksi yang diketuai Penerbit Rancangan, Mohd Farez Mohd Jeffery yang menggalas tanggungjawab sebagai pengarah video berkenaan.


Walaupun terpaksa bertugas di dalam bulan Ramadan, krew produksi tetap tabah dan melaksanakan gerak kerja seperti yang dirancang bermula dari proses pra produksi, produksi dan pasca produksi.

beca 9
Pra produksi
Selepas menerima cabaran daripada pengurusan tertinggi universiti untuk menghasilkan sebuah video pendek sempena Hari Raya Aidilfitri, Bahagian Multimedia terus mengorak langkah biarpun menyedari akan cabaran yang bakal dihadapi kerana tiada pengalaman dalam menghasilkan produk komersial seperti ini.


Proses pra produksi diatur yang yang melibatkan penyediaan konsep idea, sinopsis dan treatment, skrip, papan cerita, pemilihan lokasi dan pelakon, penyediaan belanjawan, jadual penggambaran, penyediaan kostum dan skrip rakaman (shooting script).


Biarpun proses ini tampak mudah untuk dilaksanakan, namun kekangan sumber manusia memberikan cabaran yang besar dalam mengkoordinasikan tugas bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan berkesan.

beca 2
Brain storming memikirkan idea jalan cerita adalah perkara pertama yang dilakukan yang mengambil masa berminggu kerana proses ini memerlukan kajian sama ada menerusi pembacaan, menonton filem atau iklan berkaitan dan mendapatkan pendapat orang sekeliling.


Akhirnya, tema kekeluargaan kisah sorang penarik beca diangkat untuk diterjemahkan dalam video pendek berkenaan yang menyelitkan unsur teknikal dalam pembuatan beca elektrik yang menjadi intipati keseluruhan video itu.

beca 8
Produksi
Proses mencari lokasi penggambaran selama empat hari akhirnya membuahkan hasil dan sebuah rumah yang memenuhi kehendak skrip berjaya ditemui yang terletak Sungai Rambai, Melaka.


Menjalankan tugas rakaman semasa bulan Ramadan adalah sangat mencabar bagi warga produksi namun biarpun di bawah bahang mentari, proses ini berjaya disudahkan dalam tempoh empat hari sahaja dengan kekuatan hanya empat orang krew berbanding lebih sepuluh orang petugas bagi sebuah industri rakaman sebenar.


Fasa ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam pengendalian peralatan penggambaran bagi memastikan video yang terhasil di layar digital seperti yang diilhamkan oleh pengarah dan menepati papan cerita serta skrip yang disediakan.


Farez selaku pengarah dan jurukamera bertanggungjawab menjaga pemilihan sudut kamera dan pengarahan, Rais Mahat bertugas menjaga penataan cahaya, Shamsudin Ithnin sebagai juruaudio dan Syiham Akmal Saaban menguruskan ‘props’ di set penggambaran, pemilihan kostum dan peralatan kamera.


Sebiji kamera, lensa 30mm dan 85 mm menjadi satu-satunya ‘senjata’ jurukamera membidik setiap syot dan digandingkan dengan kepakaran krew dalam pengendalian penataan cahaya, audio dan ‘props’ serta kehebatan pelakon telah berjaya menghidupkan karya tersebut.

beca 3
Pasca produksi
Setelah selesai rakaman, proses yang berikutnya adalah pasca produksi iaitu fasa akhir dalam sesebuah produksi video. Proses ini melibatkan penyuntingan seperti penyusunan video serta memasukkan grafik dan bunyi.


Masa semakin mencemburui, cuma tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi Aldilfitri bakal menjelang. Krew produksi terpaksa bertungkus lumus menyudahkan fasa akhir video berkenaan untuk dimuat naik ke laman Facebook rasmi universiti sebelum menjelangnya hari raya.


Dengan bantuan staf PPPC, Zulkifli Maskuri membuat skrip bagi suara latar, elemen dramatik telah berjaya ditonjolkan dan sekali gus melengkapkan video pendek berkenaan dan yang pastinya mampu menyentuh hati penonton.


Penerbit Universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pengurusan universiti yang memberikan kepercayaan kepada Bahagian Multimedia untuk mengetuai penerbitan video berkenaan dan tidak lupa juga kepada ketua projek Beca Elektrik UTeM, Profesor Madya Ir. Dr. Abdul Rahim Abdullah yang memberikan sepenuh kerjasama.

 

https://www.facebook.com/MyUTeM/videos/10156413978359328/

Our Services

Book Printing

Book Printing

Video Editing

Video Editing

Book Publishing

Book Publishing

Multi Camera Production

Multi Camera Production

Book Gallery

Book Gallery

Penerbitan Bahan Promosi

Penerbitan Bahan Promosi

Graphic Design

Graphic Design

Others

Others

Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia