UTeM Terima Pengiktirafan The Malaysia Book of Records – “Longest Covid-19 Pandemic Poem” menerusi Buku Kumpulan Puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) dengan tajuk rekod “Longest Covid-19 Pandemic Poem” menerusi penerbitan buku kumpulan puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020, karya pemuisi tersohor Profesor Dr. Lim Swee Tin.

 

Penyerahan sijil pengiktirafan disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah Yeow Hooi kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim pada majlis pelancaran buku tersebut di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal pada 7 Julai 2020.

Profesor Datuk Wira Dr. Raha dalam ucapannya melahirkan rasa gembira dan bertuah atas pengiktirafan tersebut dan ia merupakan kejayaan berganda buat UTeM apabila berjaya menerbitkan sebuah buku karya kreatif mengenai pandemik Covid-19 yang merupakan isu utama dunia masa kini.

Beliau turut berharap buku kumpulan puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020 dapat menjadi salah sebuah buku yang bermanfaat dan boleh dijadikan sumber rujukan mengenai pandemik Covid-19 pada masa akan datang.

 

Majlis turut dihadiri Pengurusan Tertinggi UTeM, Ketua Pegawai Maklumat UTeM, Mohd Isa Mohd Dom dan Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Siti Nurul Mahfuzah Mohamad. Majlis diserikan dengan persembahan deklamasi puisi daripada buku Merentas Gempita: Pandemik 2020 oleh warga UTeM iaitu Profesor Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap, Dr. Amir Aris dan Muhamad Hazrul Md Esa dengan tajuk puisi “Sedang Memerhati” dan “Melihat”, disusuli persembahan khas oleh Profesor Dr. Lim Swee Tin dengan tajuk puisi “Di Hadapan Tanggungjawab”.

Kumpulan Puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020 merupakan cetusan ilham Profesor Dr. Lim Swee Tin yang mengabadikan tragedi Covid-19 dengan menghasilkan 57 buah puisi khusus mengenai pandemik itu. Beliau merupakan pemenang S.E.A Write Award 2000, sebuah penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand dan telah menghasilkan lebih 40 kumpulan puisi dengan lebih 180 buah antologi yang memuatkan karya-karyanya.

Buku ini boleh didapati secara dalam talian di utembooks online, Shopee, MohBeli, serta walk in di Penerbit dan kedai buku terpilih sekitar Melaka.

Sempena pelancaran buku ini, Penerbit Universiti menganjurkan Pertandingan Video Deklamasi Puisi yang bermula 7 Julai 2020 hingga 15 Ogos 2020.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM1,000 bagi tempat pertama, RM750 tempat kedua, RM500 tempat ketiga, RM500 Video Suntingan Terbaik serta RM500 Video “Like” dan “Share” Tertinggi.

Menurut Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Siti Nurul Mahfuzah Mohamad, penganjuran pertandingan bertujuan mempromosikan penerbitan buku serta memberi peluang kepada warganegara Malaysia untuk mengetengahkan bakat mendeklamasi puisi yang seterusnya mengangkat citra positif universiti kepada masyarakat.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia berumur 13 tahun dan ke atas. Syarat lanjut pertandingan boleh didapati dengan melayari laman sesawang Penerbit UTeM.