“Hadiah Untuk Abah”

“ Jangan dihitung tara peluh dan tenaga abah. Kalau dinilai aku pasti ramai yang sudah rebah. Jika perjalanan abah itu boleh diukur, aku pasti abah sudah lali untuk jatuh dan tersungkur ”.

Mohd Fares Mohd Jeffery

Penerbit rancangan

Demikian bait monolog Amir yang pastinya meruntun jiwa bagi yang pernah menyaksikan video raya ‘Hadiah untuk abah’ hasil pembikinan Bahagian Multimedia Penerbit Universiti dengan kerjasama Pejabat Pengurusan & Perhubungan Canselori (PPPC). Menyingkap tirai kejayaan penerbitan video yang berdurasi enam minit itu, pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi krew produksi yang diketuai Penerbit Rancangan, Mohd Farez Mohd Jeffery yang menggalas tanggungjawab sebagai pengarah video berkenaan. Walaupun terpaksa bertugas di bulan Ramadan, krew produksi tetap tabah dan melaksanakan gerak kerja seperti yang dirancang bermula dari proses pra produksi, produksi dan pasca produksi.

Pra-Produksi

Selepas menerima cabaran daripada pengurusan tertinggi universiti untuk menghasilkan sebuah video pendek sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2018, Bahagian Multimedia terus mengorak langkah biarpun menyedari akan cabaran yang bakal dihadapi kerana tiada pengalaman dalam menghasilkan produk komersial seperti ini.

Proses pra produksi diatur yang melibatkan penyediaan konsep idea, sinopsis dan treatment, skrip, papan cerita, pemilihan lokasi dan pelakon, penyediaan belanjawan, jadual penggambaran, penyediaan kostum dan skrip rakaman (shooting script).

Biarpun proses ini tampak mudah untuk dilaksanakan, namun kekangan sumber manusia memberikan cabaran yang besar dalam mengkoordinasikan tugas bagi memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan berkesan. Brain storming memikirkan idea jalan cerita adalah perkara pertama yang dilakukan yang mengambil masa berminggu kerana proses ini memerlukan kajian sama ada menerusi pembacaan, menonton filem atau iklan berkaitan dan mendapatkan pendapat orang sekeliling.

Akhirnya, tema kekeluargaan kisah sorang penarik beca diangkat untuk diterjemahkan dalam video pendek berkenaan yang menyelitkan unsur teknikal dalam pembuatan beca elektrik yang menjadi intipati keseluruhan video itu.

Produksi

Proses mencari lokasi penggambaran selama empat hari akhirnya membuahkan hasil dan sebuah rumah yang memenuhi kehendak skrip berjaya ditemui yang terletak Sungai Rambai, Melaka. Menjalankan tugas rakaman semasa bulan Ramadan adalah sangat mencabar bagi warga produksi namun biarpun di bawah bahang mentari, proses ini berjaya disudahkan dalam tempoh empat hari sahaja dengan kekuatan hanya empat orang krew berbanding lebih sepuluh orang petugas bagi sebuah industri rakaman sebenar.

Fasa ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam pengendalian peralatan penggambaran bagi memastikan video yang terhasil di layar digital seperti yang diilhamkan oleh pengarah dan menepati papan cerita serta skrip yang disediakan. Farez selaku pengarah dan jurukamera bertanggungjawab menjaga pemilihan sudut kamera dan pengarahan, Rais Mahat bertugas menjaga penataan cahaya, Shamsudin Ithnin sebagai juruaudio dan Syiham Akmal Saaban menguruskan ‘props’ di set penggambaran, pemilihan kostum dan peralatan kamera. Sebiji kamera, lensa 30mm dan 85 mm menjadi satusatunya ‘senjata’ jurukamera membidik setiap syot dan digandingkan dengan kepakaran krew dalam pengendalian penataan cahaya, audio dan ‘props’ serta kehebatan pelakon telah berjaya menghidupkan karya tersebut.

Pasca-Produksi

Setelah selesai rakaman, proses yang berikutnya adalah pasca produksi iaitu fasa akhir dalam sesebuah produksi video. Proses ini melibatkan penyuntingan seperti penyusunan video serta memasukkan grafik dan bunyi.

Masa semakin mencemburui, cuma tinggal kira-kira seminggu sahaja lagi Aldilfitri bakal menjelang. Krew produksi terpaksa bertungkus lumus menyudahkan fasa akhir video berkenaan untuk dimuat naik ke laman Facebook rasmi Universiti sebelum menjelangnya Hari Raya.

Dengan bantuan staf PPPC, Zulkifli Maskuri membuat skrip bagi suara latar, elemen dramatik telah berjaya ditonjolkan dan sekali gus melengkapkan video pendek berkenaan dan yang pastinya mampu menyentuh hati penonton.

Penerbit Universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya Pengurusan Universiti yang memberikan kepercayaan kepada Bahagian Multimedia untuk mengetuai penerbitan video berkenaan dan tidak lupa juga kepada ketua projek Beca Elektrik UTeM, Profesor Madya Ir. Dr. Abdul Rahim Abdullah yang memberikan sepenuh kerjasama.

Tonton video ini di laman facebook rasmi UTeM atau klik pautan di bawah:
Video Raya UTeM 2018 – Hadiah Untuk Abah

” Hadiah Untuk Abah mendapat 37,000 view, 1,200 like dan 1022 perkongsian dalam tempoh tiga hari dimuat naik di laman Facebook rasmi Universiti Teknikal Malaysia Melaka “

Nurhafidz Abdul Sahak

Ketua Bahagian Multimedia

“Sebelum Terlewat”

Tonton video ini di laman facebook rasmi UTeM atau klik pautan di bawah:
Video Raya UTeM 2019 – Sebelum Terlewat

Ledakan penerbitan drama atau filem pendek menjelangnya musim perayaan bukanlah suatu fenomena baharu di negara kita. Semua pihak sama ada dari sektor kerajaan mahupun swasta berlumba-lumba menterjemahkan karya kreatif mereka dalam bentuk visual untuk tatapan masyarakat.

Saban hari sepanjang bulan Ramadan sehingga menjelangnya Syawal, timeline media sosial dihujani beraneka ragam genre drama atau filem pendek antaranya seram, tragedi, komedi, melodrama dan beberapa lagi unsur drama yang popular diketengahkan. Tidak terkecuali Penerbit Universiti yang telah dua tahun berturut-turut menerbitkan drama pendek yang kedua-duanya mengetengahkan kisah liku kehidupan sambil ‘menjual’ nama Universiti secara bersahaja dalam karya mereka.

Sebelum Terlewat adalah naskhah terbaharu yang diterbitkan oleh Bahagian Multimedia, Penerbit Universiti. Drama pendek arahan Penolong Pegawai Senireka, Rais Mahat ini mengemudi jiwa penonton dengan mesej yang tersirat iaitu tentang usaha, kesungguhan dan rezeki.

Drama berdurasi enam minit ini mengambil masa pengambaran selama sebulan dengan krew produksi dan barisan pelakon seramai 30 orang termasuk pelakon tambahan.

Dalam tempoh sebulan dimuat naik di lamam Facebook rasmi UTeM, drama pendek SEBELUM TERLEWAT telah mendapat 551 perkongsian, lebih 43,000 tontonan dan lebih seribu like. Kekuatan drama ini adalah dari aspek sinematografinya selain kekuatan skrip, pelakon dan efek yang mana keseluruhan proses pembikinannya mengguna pakai peralatan ‘biasa-biasa’ sahaja namun berjaya mencapai kesempurnaan dan definisi sebuah drama.

Jika aspek kualiti, idea dan kreativiti SEBELUM TERLEWAT mahu dibandingkan dengan karya terbitan syarikat pengiklanan terkemuka seperti Leo Burnett sudah semestinya kita jauh ketinggalan tetapi naskhah ini patut mendapat pujian kerana usaha keras krew produksinya yang berjaya merealisasikan penerbitannya dengan kekangan kewangan dan peralatan yang canggih.

SEBELUM TERLEWAT adalah naskhah kedua diterbitkan Bahagian Multimedia, Penerbit Universiti selepas HADIAH UNTUK ABAH yang diterbitkan pada tahun lepas yang turut mendapat sambutan ramai.

Mohammad Dzulhisham Che Hassim

Pegawai Penerbitan